mutakhir

4 taman rekreasi disanitasi

Oleh Baharom Bakar

SELEPAS pasar awam, empat taman rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai di Kuala Terengganu, disanitasi dalam Ops Nyah Cemar, hari ini. Operasi dilaksanakan pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

Pengarah JBPM negeri, Md Hilman Abd Rashid berkata, empat kawasan yang disanitasi adalah Taman Awam Padang Hiliran, Taman Awam Pantai Batu Burok, lagun Masjid Tengku Tengah Zaharah dan lagun Kuala Ibai.

“Proses sanitasi dan nyah cemar ini sudah dilaksanakan secara berperingkat sejak Selasa lalu terutama di pasar awam.

“Setakat ini, 15 lokasi di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus sudah disanitasi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Md Hilman berkata, operasi nyah cemar dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Pelaksanaannya dilakukan mengikut jadual ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah.

“Operasi hanya dilakukan berdasarkan permintaan daripada pejabat daerah dan PBT,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 4:31pm
    d