mutakhir

'Tolong jaga tangki air, paip...'

Oleh Hassan Omar

SYARIKAT Air Melaka Bhd (SAMB) meminta orang ramai membantu menjaga tangki air dan paip disediakan di 132 pusat agihan setempat di seluruh negeri ini ketika catuan air dilaksanakan dari 29 Januari lalu hingga 31 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Halim Bachik berkata, anggota masyarakat diminta berbuat demikian bagi mengelak aset SAMB itu menjadi habuan pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa mencari peluang mengaut keuntungan dengan cara mudah.

Katanya, SAMB bercadang mengambil tangki berkenaan untuk disimpan di pusat penyimpanan aset syarikat berkenaan, tetapi terhalang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah, setakat ini tangki dan paip air itu masih kekal di tempat asalnya walaupun catuan air sudah ditamatkan dan kami berharap orang ramai dapat membantu menjaganya daripada dicuri.

“Bagaimanapun, biarlah PKP habis dahulu, barulah SAMB mengambilnya untuk disimpan bagi kegunaan pada masa akan datang,” katanya.

SAMB mula meletakkan tangki air dan memasang paip air di pusat berkenaan beberapa hari sebelum catuan air di seluruh Melaka dimulakan pada 29 Januari lalu.

Syarikat utiliti itu menyediakan 132 pusat agihan setempat bagi memudahkan penduduk mengambil air dengan lokasi berkenaan dipilih hasil kerjasama SAMB dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebelum ini bagi memastikan tiada penduduk tidak mendapat bekalan air sepanjang catuan air dilaksanakan.

Tangki berkenaan mampu menampung kira-kira 2,727 liter atau 600 gelen air yang dipindahkan dari lori tangki SAMB.

Sepanjang catuan air dilaksanakan, pusat agihan setempat menjadi tumpuan pengguna untuk mendapatkan air kerana ada pengguna yang tidak memiliki tong besar untuk menyimpan air di kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, ada pengguna terpaksa mengangkut air sejauh kira-kira satu kilometer dari pusat berkenaan ke kediaman masing-masing, selain terpaksa berulang-alik lebih dua kali semata-mata untuk mendapatkan air.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 4:31pm
d