mutakhir

MEWA nama baru Kementerian alam sekitar

Oleh Mahaizura Abd Malik

KEMENTERIAN Alam Sekitar kini menggunakan nama baharu kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA).

Penjenamaan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung, semalam.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media memaklumkan, penjenamaan itu selaras dengan keputusan kerajaan memberi tanggungjawab pengurusan air negara kepada MEWA disamping berperanan dalam pelestarian alam sekitar.

Katanya, kementerian terbabit akan mengitegrasikan sektor alam sekitar dan air.

“Kewujudan MEWA akan membolehkan sinergi antara dua aspek pengurusan air yang selama ini terpisah iaitu sumber air dan dipertanggungjawabkan di bahu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mengawal selia perkhidmatan air membabitkan bekalan air dan pembetungan.

“Kedua-dua fungsi ini akan disepadukan di bawah MEWA bagi memantapkan ekosistem tadbir urus air negara bagi memastikan sumber dan bekalan air mencukupi dan berkekalan,” katanya.

Beliau berkata, MEWA juga bertanggungjawab terhadap isu perubahan iklim, biokeselamatan dan memacu pertumbuhan ekonomi hijau.

“MEWA akan turut memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran awam serta pembudayaan tentang kepentingan alam sekitar dan air,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 5:22pm
d