mutakhir

Peniaga bazar Ramadan ligat fikir kaedah

Oleh Mohd Amin Jalil

PENIAGA kecil di Seremban membuat perancangan untuk menggunakan alternatif lain termasuk jualan secara atas talian atau penghantaran terus ke rumah susulan ketiadaan bazar Ramadan tahun ini.

Rata-rata mereka akur dengan arahan kerajaan Negeri Sembilan itu susulan wabak Covid-19.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Pasar Ampangan (PPPKMPA) yang juga penganjur bazar Ramadan Ampangan, Noorzazreen Arnaidy Nooradzman, 38, berkata ahli persatuan itu akur dengan arahan kerajaan.

Katanya, kepentingan dan keselamatan rakyat perlu diberikan keutamaan susulan wabak Covid-19 yang sudah meragut ribuan nyawa.

“Kami (PPPKMPA) sokong langkah diambil kerajaan negeri untuk tidak mengadakan bazar Ramadan.

“Ahli persatuan boleh meneruskan usaha mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga, namun digalakkan menggunakan perniagaan secara atas talian dan penghantaran terus ke rumah pelanggan.

“Mereka sudah mempraktikkan kaedah ini sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu dan akan diteruskan sepanjang Ramadan akan datang.

“Kaedah ini digunakan bukan sahaja membabitkan produk makanan, malah barangan runcit,” katanya ketika ditemui di Ampangan, hari ini.

Noorzazreen yang menjalankan perniagaan peruncitan berkata, walaupun ketiadaan bazar Ramadan akan dirasakan 42 ahli PPPKMPA dan usahawan lain, arahan itu harus dipatuhi.

“Ahli kami sudah diberikan penerangan, maklumat dan bantuan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia gunakan kaedah alternatif dalam memasarkan produk masing-masing.

“Itu sajalah flatform yang ada untuk peniaga meneruskan perniagaan mereka,” katanya.

Peniaga kuih, Esah Dolah, 62, dari Kampung Ismail, Ampangan berkata, dia sedar ketiadaan bazar Ramadan akan memberi kesan kepada pendapatan, namun akur dengan arahan kerajaan.

Dia yang sudah lapan tahun berniaga di bazar Ramadan Ampangan mengakui terpaksa mencari alternatif lain termasuk melakukan penghantaran terus ke rumah.

“Kita perlu patuh arahan kerajaan untuk kesihatan dan keselamatan. Kalau sudah sakit nanti lagi susah.

“Saya menjual kira-kira 1,000 keping membabitkan lebih 30 jenis kuih setiap hari di bazar Ramadan,” katanya.

Mohd Shah Kamil, 50, dari Taman Kobena, Senawang, yang berniaga tepung pelita berkata, dia bercadang untuk beroperasi dari rumah dan menggunakan kaedah penghantaran sendiri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 5:53pm
    d