mutakhir

Lelaki maut, motosikal rempuh kereta

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIMBALAN Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Darat Pak Chan maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, hari ini.

Dalam kemalangan pada 8.25 pagi, mangsa, Mohd Nasir Jusof, 59, dari Kampung Gong Tepas meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Proton Wira dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Pos Malaysia cawangan Marang dari arah Kuala Terengganu menuju ke arah Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda C100 2009 tiba-tiba menyeberang dari atas pembahagi jalan dan memasuki laluan pemandu Proton Wira.

“Melihat keadaan itu, pemandu lelaki berusia 28 tahun cuba memberhentikan keretanya bagi mengelak daripada melanggar mangsa namun gagal apabila penunggang melanggar bahagian depan kereta berkenaan.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zain berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 6:35pm
d