mutakhir

Tengok, tunggu, bayar dan pulang

Oleh Mohd Rafi Mamat

TENGOK, tunggu, bayar dan pulang. Itu sistem yang digunakan pada Program Jualan Barangan Segar Terkawal anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang di perkarangan pejabatnya di Batu Lima Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan.

Malah, urusan pembelian hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit sahaja, selain hanya seorang wakil keluarga sahaja dibenarkan berada dalam kawasan tapak jualan dan pelanggan tidak dibenarkan untuk memilih.

Pengarahnya Noh Nik Wan berkata, sejak dimulakan pada 18 Mac lalu sambutan diterima amat menggalakkan yang mana antara 200 hingga 300 pengguna hadir setiap hari bagi mendapatkan barangan keperluan segar terus dari ladang.

Katanya, ini juga dipantau beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan ia mematuhi langkah keselamatan ditetapkan.

“Pengguna yang ingin mendapatkan barangan keperluan perlu melalui beberapa peringkat.

“Mereka perlu mengisi borang khas, melihat produk yang ingin dibeli di gerai disediakan secara berasingan, menyerahkan borang belian, menunggu dan membuat bayaran selepas barangan disediakan kakitangan FAMA,” katanya ketika ditemui hari ini.

Noh berkata, pelbagai produk sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan, serta barangan kawalan di kedai Agro Bazaar Kedai Rakyat dan Agro Bazaar Rakyat dijual di program itu.

“Selain mendapat produk segar terus dari ladang, pengguna juga menikmati tawaran harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding yang dijual di premis serta pasar besar.

“Usaha yang dilakukan FAMA ini bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan serta mengurangkan perbelanjaan dapur pengguna sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, menerusi program ini juga FAMA Pahang dapat membantu petani memasarkan hasil pertanian yang tidak dapat dipasarkan berikutan kurang mendapat permintaan.

“Kami akan membeli dengan harga lantai kemudian menjual semula kepada pengguna.

“Saya berharap pengguna tidak melepaskan peluang yang disediakan FAMA Pahang ini,” katanya yang menyediakan lebih 20 kakitangan untuk menguruskan aktiviti jualan setiap hari selama tujuh hari seminggu.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 7:03pm
d