mutakhir

Melaka tubuh jawatankuasa khas Covid-19

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN negeri Melaka menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bagi membolehkan maklumat mengenai wabak itu dapat disampaikan dengan lebih baik ke peringkat bawahan.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan.

Susulan itu, beliau berharap jawatankuasa berkenaan dapat mencari kaedah terbaik dalam memastikan rakyat mendapat maklumat serta penerangan jelas mengenai perkembangan semasa wabak itu.

“Jawatankuasa ini bertindak sebagai penghubung kepada penyaluran berita supaya rakyat lebih memahami keadaan sebenar wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri meluluskan insentif khas susulan wabak Covid-19 untuk rakyat negeri, sebagai tambahan kepada pengumuman dibuat sebelum ini.

Katanya, insentif itu adalah penangguhan bayaran cas abstraksi air kepada 169 pemegang lesen abstraksi air mentah di negeri ini bermula bulan ini hingga Jun depan.

“Turut dipersetujui, pengurangan sewaan penyewa Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengusaha Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Tunggakan tidak lebih dua bulan akan diberi pengecualian dua bulan sewaan, manakala tunggakan lebih dua bulan pula diberikan diskaun 50 peratus bagi dua bulan sewaan.

“Kerajaan negeri turut bersetuju membuat pembayaran insentif kepada 495 petugas barisan hadapan dalam kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara bulanan sehingga wabak Covid-19 selesai.

“Kos dua insentif pertama adalah sebanyak RM2.75 juta manakala insentif kepada petugas barisan hadapan PBT membabitkan kos sebanyak RM99,000 sebulan yang ditanggung oleh PBT masing-masing,” katanya.

Sulaiman turut mengumumkan penangguhan solat sunat Tarawih di masjid dan surau di negeri ini jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan ketika ini, disambung semula pertengahan bulan ini.

Ia turut membabitkan solat Jumaat serta pengagihan bubur lambuk pada Ramadan ini.

“Turut diumumkan, pembatalan rasmi penganjuran Bazar Ramadan di Melaka, selaras dengan saranan yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dan demi kepentingan orang ramai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 7:47pm
    d