mutakhir

Pengawal keselamatan cedera ditumbuk

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PENGAWAL keselamatan di Pangsapuri Bayu Tiara, Bayan Lepas, cedera di dahi akibat ditumbuk seorang lelaki yang tidak dikenali, semalam.

Tindakan itu berikutan suspek tidak berpuas hati dengan teguran kasar pengawal keselamatan terbabit kerana tidak menggunakan laluan pejalan kaki.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada jam 10.30 malam.

Katanya, suspek yang tidak dikenali masuk ke kawasan pangsapuri berkenaan tanpa menggunakan laluan pejalan kaki sebelum ditegur pengawal keselamatan warga Nepal itu.

“Tiba-tiba lelaki itu datang kepada pengawal keselamatan, lalu menumbuk muka mangsa hingga menyebabkan bengkak di dahi.

“Suspek sempat mengugut pengawal keselamatan berkenaan dengan mengatakan ‘hang tunggu, aku cari hang lagi’ sebelum beredar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau bagi mendapatkan rawatan.

Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 34 tahun yang tidak bekerja itu tidak mempunyai kad akses, datang untuk ke rumah abangnya yang tinggal di pangsapuri berkenaan.

Kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati ditegur pengadu dengan nada kasar kerana tidak menggunakan laluan pejalan kaki.

“Suspek sudah ditahan bagi siasatan lanjut dan ujian air kencing didapati negatif daripada pengambilan dadah.

“Difahamkan bahawa suspek baru saja keluar dari penjara Jawi pada 14 Mac lalu atas kesalahan memiliki barang curi selain memiliki lima rekod berkait dadah,” katanya lagi.

Suspek direman selama tiga hari sehingga 4 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 8:25pm
d