mutakhir

10 rumah rosak dilanda ribut

Oleh Nazri Abu Bakar

KEJADIAN ribut kencang yang melanda Felda Hutan Percha, Alor Gajah lewat petang semalam menyebabkan kerosakan teruk beberapa rumah di kawasan terbabit.

Pengerusi Penduduk Felda Hutan Percha, Nizam Baharom berkata, walaupun ribut hanya mengambil masa antara 10 hingga ke 20 minit namun ia menyebabkan kerosakan teruk beberapa kediaman dalam kejadian terbabit.

Menurutnya, keseluruhan kira-kira 10 rumah mengalami kerosakan termasuk atap dan zink tercabut dan ia adalah yang terburuk sejak 20 tahun lalu.

“Malah penduduk turut terkejut berikutan terdapat hujan batu beberapa minit hingga mereka dapat memegang ketulan kecil ais batu berkenaan sebelum cair.

“Penduduk yang panik tidak dapat berbuat apa- apa dan hanya menyelamatkan diri dalam kejadian luar jangkaan itu,”katanya.

Menurutnya, dia dan penduduk bersyukur tiada yang cedera dalam kejadian berkenaan walaupun terdapat pokok tumbang dan kereta yang mengalami kerosakan hingga cermin yang pecah.

Beliau berkata, mesyuarat akan diadakan bersama pihak berwajib hari ini dalam menangani masalah berkenaan dan bagi membantu penduduk yang terkesan dengan situasi terbabit.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 8:22am
d