mutakhir

Covid-19: Tidak berdosa tinggal solat Jumaat tiga kali berturut-turut

Oleh Malik Muhamad

LELAKI beragama Islam mukallaf yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut di masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dikunci pintu hatinya dan tidak berdosa kerana hukumnya adalah harus bagi mengelak penularan wabak pandemik Covid-19 itu.

Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman berkata, solat Jumaat yang ditinggalkan itu wajib digantikan dengan solat Zuhur di kediaman masing-masing.

Menurutnya, harus hukumnya untuk meninggalkan solat Jumaat di masjid walaupun tiga kali berturut-turut dalam tempoh PKP ini, namun wajib digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

“Ketetapan hukum ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu yang bermaksud keadaan yang sempit membolehkan perkara-perkara yang dilarang.

“Ketetapan hukum ini juga bersandarkan kepada hadis Nabi Muhamad S.A.W yang bermaksud, sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.

“Mereka (para sahabat) bertanya kepada Rasulullah, apakah keuzuran itu? Baginda menjawab, ketakutan dan kebimbangan atau penyakit (Hadis Riwayat Abu Daud),” ujarnya yang mengharapkan dengan penjelasan ini umat Islam tidak keliru walaupun tidak mengerjakan solat Jumaat di masjid tiga kali berturut-turut,” katanya.

Dalam masa sama beliau mengharapkan semua peringkat masyarakat tidak ingkar dengan arahan pihak berkuasa sebaliknya dapat mematuhi PKP yang bakal berakhir 14 April ini sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Katanya, pematuhan arahan ini adalah penting dan dituntut bagi mengelakkan PKP dilanjutkan ke suatu tempoh yang mungkin tiada penghujungnya.

“Kita semua pasti merindukan kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak sampai tiga minggu sahaja lagi, semestinya semua umat Islam ingin menyambut bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadat puasa, mendirikan solat tarawih serta beriktikaf di masjid di samping melakukan ibadat lain dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

“Seterusnya dapat menyambut perayaan Aidilfitri, tapi sekiranya kita masih mengambil mudah dengan arahan PKP ini, maka tidak mustahil mungkin tahun ini kita tidak dapat mengecapi kenikmatan ibadat di bulan Ramadan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 11:09am
d