mutakhir

Rayuan Lokman Adam didengar 13 Mei

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 13 Mei ini untuk mendengar rayuan Datuk Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran diperoleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Peguam Negara menerima surat daripada mahkamah bertarikh 2 April memaklumkan tarikh pendengaran dijadualkan semula kepada 13 Mei.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 31 Mac untuk mendengar rayuan Lokman yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Pada 14 Januari tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1MDB yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah dengan melakukan perbuatan itu sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Dalam permohonan itu, Thomas meminta mahkamah memenjarakan atau mendenda Lokman kerana melakukan perbuatan itu.

Pada Mac lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Lokman menangguhkan sementara prosiding komitalnya di mahkamah ini sementara menunggu rayuan diputuskan oleh mahkamah berkenaan.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 4:04pm
d