mutakhir

Nyah cemar di lapangan terbang

Oleh Mohd Roji Kawi

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sedia melaksanakan program sanitasi bagi membersihkan semua lapangan terbang di negeri itu dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak Tiong Ling Hii berkata, buat permulaan pihaknya melaksanakan operasi nyah cemar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Menurutnya, seramai 29 anggota JPBM dengan bantuan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan Malaysia Airport Berhad terbabit dalam operasi berkenaan.

“Semua lokasi di luar dan dalam lapangan terbang ini yang dikenal pasti disentuh manusia termasuk di `sky bridge’ disembur dengan cecair anti kuman.

“Jika ada permintaan daripada pengurusan lapangan terbang lain di negeri ini seperti Sibu, Miri dan Bintulu, anggota kami bersedia untuk melaksanakannya,” katanya ketika ditemui di LTAK hari ini.

Ling Hii berkata, ketika ini amat sesuai untuk melaksanakan program sanitasi awam di lapangan terbang berikutan jumlah penerbangan yang berlepas dan tiba amat kurang.

“Selain itu, jumlah orang yang lalu lalang di lapangan terbang juga amat sedikit, begitu juga dengan premis perniagaan di lapangan terbang yang ditutup sepanjang tempoh perintah kawalan prgerakan (PKP) sekali gus memudahkan tugas kami untuk melaksanakan operasi nyah cemar,” katanya.

Menurutnya, selain LTAK, JPBM Zon Kuching turut melaksanakan program sanitasi awam di beberapa kawasan lain hari ini antaranya di Jalan Semarak dan Laruh Skim yang dilaksanakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya.

“Anggota BBP Kota Samarahan pula bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan operasi nyah cemar di lokasi berisiko di Kota Samarahan.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah turut meminta bantuan JBPM untuk melaksanakan operasi di lokasi tumpuan awam Betong dan Sri Aman hari ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 4:52pm
    d