mutakhir

Covid-19: Anggaran WHO tidak tepat

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KAJIAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjangkakan kes Covid-19 di negara ini akan meningkat sehingga 6,000 kes menjelang pertengahan April ini mungkin tidak tepat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, WHO mengandaikan Malaysia akan mencapai 4,000 kes menjelang 31 Mac lalu, tetapi meleset apabila negara ini hanya merekodkan sekitar 2,600 kes sahaja.

“Apabila mendapat andaian WHO itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak pantas daripada pelbagai aspek seperti rawatan, pencegahan dan persiapan bagi memastikan angka yang diramal tidak menjadi nyata.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula melancarkan Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 1 April, dan kita jangka angka itu tidak dicapai biarpun sehingga hari ini sudah mencapai lebih kurang 3,000 kes.

“Saya yakin pihak KKM dan MKN akan bertindak lebih agresif bagi memastikan graf itu tidak meningkat seperti diandaikan WHO,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.

Ditanya mengenai adakah tempoh PKP dilanjutkan atau sebaliknya, Dr Noor Azmi berkata, secara tegas ianya bergantung pada keputusan MKN berdasarkan graf kes semasa Covid-19.

“Sama ada PKP dilanjutkan atau terus diadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ianya adalah keputusan MKN.

“Sekiranya graf semasa menunjukkan penurunan dari segi kes baru dan peningkatan kes yang sembuh, itu juga sebenarnya menentukan PKP ini diteruskan atau sebaliknya.

“Secara peribadi, jika graf kes menunjukkan penurunan, saya beranggapan PKP ini tidak akan dihentikan serta-merta sebaliknya mungkin akan dilonggarkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 5:31pm
    d