mutakhir

Rampas syabu, pistol tiruan

Oleh Juwan Riduan

SEORANG penolong pegawai sebuah agensi kerajaan ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu dan sepucuk pistol tiruan di Simpang Jalan Pejabat AADK, Keningau kelmarin.

Lelaki berusia 31 tahun ditahan sepasukan polis ketika menjalankan tugas ‘Snap Check’ Ops Covid-19 pada 9.15 malam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, ketika menjalankan pemeriksaan itu, anggota polis menahan sebuah pacuan empat roda.

“Pemeriksaan itu menemui sepucuk pistol tiruan yang disimpan pintu kanan kenderaan bahagian pemandu.

“Pemeriksaan lanjut dalam bonet hadapan kenderaan terbabit menemui satu kotak rokok disorok di celah ruangan atas lampu hadapan.

“Pemeriksaan terhadap isi kotak rokok itu menemui satu paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Zaini berkata, siasatan awal mendapati suspek membeli senjata yang dirampas secara dalam talian pada 2018 dengan harga RM2,500 termasuk 100 biji bebola peluru.

“Tujuan membeli senjata itu adalah sekadar latihan menembak di pejabatnya pada masa lapang,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 6:53pm
d