mutakhir

4 konsep baharu perniagaan pada Ramadan, musim perayaan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan mengumumkan empat konsep baharu perniagaan semasa bulan Ramadan dan musim perayaan pada Khamis ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, selain konsep baharu itu pihaknya juga akan mengumumkan beberapa insentif yang disifatkan sebagai menggalakkan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) baru saja mengeluarkan ‘advisory’ (nasihat) bahawa harus elak sebarang perhimpunan antara enam bulan sehingga setahun.

“Bermakna kita perlu atur semua aktiviti penguasa tempatan di Wilayah Persekutuan supaya selari dengan panduan berkenaan. Insya-Allah minggu ini kita akan perkenalkan beberapa konsep baharu.

“Di Wilayah Persekutuan empat konsep baru perniagaan bulan Ramadan dan musim perayaan akan saya umumkan Khamis ini berserta beberapa insentif menggalakkan,” katanya yang berkongsi hal berkenaan menerusi ciapan di Twitter miliknya, di sini.

Sebelum ini Annuar dilaporkan berkata, peniaga dan penjaja tidak perlu mengharapkan penganjuran bazar Ramadan seperti sebelum ini ekoran penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekalipun, perniagaan gerai pada April dan Mei perlu mematuhi garis panduan baharu berdasarkan panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sama ada PKP akan dilanjutkan atau sebaliknya ia bergantung pada situasi semasa Covid-19 selepas minggu pertama April.

Katanya, mengenai pelaksanaan bazar Ramadan, Dr Noor Hisham berkata, selain mematuhi garis panduan yang dikeluarkan pihaknya, idea kreatif dan inovatif perlu diterapkan sekiranya penganjurannya dibenarkan pada tahun ini bagi mengelakkan terjadinya perhimpunan orang ramai yang secara tidak langsung meningkatkan risiko jangkitan.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 12:14pm
d