mutakhir

Pusat kuarantin ke-4 dibuka di Sri Aman

Oleh Joshua Eric

ASRAMA Pelatih Jururawat Masyarakat di Simanggang, Sarawak akan dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Covid-19 yang baharu bagi mengendalikan pesakit dalam pemantauan (PUI).

Kerja membaik pulih asrama yang terletak berdekatan dengan Poliklinik Sri Aman berkenaan sudah berada di peringkat akhir dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

Apabila beroperasi kelak, ia akan menjadi pusat kuarantin yang keempat di bahagian Sri Aman dengan tiga pusat sebelumnya sudah dibuka di Rumah Rehat Kerajaan KPSU Lama Sri Aman, Pusat Khidmat ADUN Batang Ai Lubok Antu dan Rumah Rehat Kerajaan, Engkilili.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis ketika melakukan pemantauan terhadap kerja baik pulih asrama pelatih berkenaan petang semalam meminta semua pihak tidak mempolitikkan pembukaan pusat kuarantin terbabit.

Ujar beliau, tindakan sesetengah pihak bermain politik mengenai pembukaan Pusat Kuarantin Covid-19 di Lubok Antu dan Engkilili adalah mengecewakan ketika kerajaan berjuang untuk mengekang pandemik terbabit pada waktu sekarang.

“Tindakan mereka membangkitkan isu terbabit di media sosial misalnya menyebabkan ramai penduduk Lubok Antu berasa bimbang ketika melalui kawasan Pusat Khidmat ADUN Batang Ai.

“Atas faktor kurang kesedaran, penduduk di sana memikirkan bahawa Pusat Kuarantin Covid-19 di Pusat Khidmat Adun Batang Ai akan menyebarkan virus melalui udara walaupun realitinya adalah bukan demikian,”jelas beliau.

Isu terbabit katanya juga timbul terhadap Pusat Rawatan Covid-19 di Rumah Rehat Engkilili yang sebelum ini dikatakan bakal menerima kemasukan semua pesakit walaupun pusat itu sebenarnya hanya dikhas untuk petugas barisan hadapan.

“Sehubungan itu saya meminta Unit Komunikasi Sarawak Awam Sarawak (UKAS), Pejabat Residen, Pejabat Daerah, penjawat awam atau Ketua Kaum di sini untuk bertindak menerangkan perkara sebenar berkaitan Covid-19 terbabit terhadap penduduk.

“Paling penting sekali adalah semua pihak perlulah menggembleng tenaga untuk memberi pemahaman sebenarnya kepada penduduk mengenai Covid-19 dan berhenti bermain politik demi kepentingan diri masing-masing,”katanya.

Dalam majlis yang sama, Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang menyerahkan bantuan peralatan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman di situ.

Peralatan berupa alat pendingin hawa, katil, meja dan sebagainya itu disampaikan oleh Presidennya, Temenggung Kueh Aik Seng kepada Pegawai Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Euphrasia Bahri.

Difahamkan bahawa pihak Persatuan Chee Chuan Khor melalui Tabung Kebajikan dan Pendidikan Ngu Hieng Wu berjaya mengutip derma sebanyak RM30,000 daripada para ahli mereka untuk membeli peralatan bagi tujuan kegunaan pusat kuarantin Covid-19 di sini.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 1:55pm
d