mutakhir

Jari telunjuk 'terkulai' kena gegancu motosikal

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

JARI telunjuk kanan seorang remaja lelaki hampir putus akibat tersepit pada gegancu motosikalnya dalam kejadian di Kampung Parit Haji Napis, Parit Buntar, Khamis lalu.

Kejadian berlaku sekitar 5 petang ketika mangsa Mohamad Firdaus Mohamad Isa, 15, yang juga anak kedua daripada tiga beradik sedang membaik pulih motosikalnya yang rosak.

Bapa mangsa Mohamad Isa Abd Rahim, 44, berkata ketika kejadian dia sedang menebas semak-samun di belakang rumahnya sebelum terdengar jeritan anaknya.

Katanya, dia berlari ke arah anaknya sebelum mendapati dia memegang jarinya jarinya yang berdarah dan hampir putus.

“Saya terus membawanya ke Klinik Kesihatan Tanah Kebun dengan kereta jiran sebelum dirujuk ke Hospital Parit Buntar.

“Anak diberi rawatan awal dan dipindahkan ke Hospital Taiping untuk menjalani rawatan lanjut,” katanya.

Mohamad Isa berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Buntar, Md Nayan Salleh yang turut menghulurkan sumbangan, hari ini.

Menurutnya, anaknya sudah menjalani pembedahan, pagi semalam, dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

“Cuma saya bimbang berikutan doktor memaklumkan sekiranya jari yang disambung itu tidak pulih dalam masa sebulan, kemungkinan ia terpaksa dibuang bagi mengelakkan jangkitan kuman,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 3:51pm
d