mutakhir

Awas penyebar berita palsu Covid-19 [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

KERAJAAN sekali lagi menegaskan tidak berkompromi dengan pihak yang menyebar berita palsu sebaliknya, akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 184 kertas siasatan dibuka berkaitan berita palsu mengenai Covid-19 sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 20 kes sudah didakwa ke mahkamah dan mendapat pengadilan sewajarnya.

“Antara berita palsu disebarkan lagi semalam, kononnya bahawa penumpang (yang pulang dari luar negara) dibawa ke pusat kuarantin dengan trak penjara.

“Itu berita tidak benar. Ada bas disediakan kerajaan atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Trak hanya digunakan untuk membawa barangan mereka sahaja.

“Juga, kononnya pusat kuarantin di Sabah (berkeadaan) buruk dan ini sudah dinafikan. Berita palsu terus berlegar-legar di negara kita. Kerajaan serius bertindak dengan lebih tegas kepada penyebar berita palsu ini, tiada sesiapa akan terlepas,” katanya.

Peringatan itu disampaikannya ketika sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 4:21pm
d