mutakhir

Mungkin tiada rezeki tahun ini

Oleh Malik Muhamad

SEKUMPULAN pekebun tembikai di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus berdepan kesulitan apabila tanaman mereka bukan sahaja tidak laku, malah turut diserang penyakit kulat daun dan akar.

Keadaan itu menyebabkan pendapatan pekebun terbabit terjejas sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Pekebun, Ismail Abu Bakar, 64, berkata, kebiasaannya peraih akan datang ke kebunnya untuk mendapatkan buah tembikai, tetapi situasi berbeza berlaku sejak pelaksanaan PKP.

“Sepanjang lebih 20 tahun berkebun, biasanya peraih pasti ternanti-nanti dan akan datang ke kebun untuk dapatkan bekalan tembikai, tapi kali ini hairan mereka tak datang mungkin kerana kurang permintaan.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dihubungi meminta kami menghantarnya sendiri sedangkan kami tidak ada lori.

“Akibat itu, saya terpaksa menjual sendiri tembikai ini pada harga RM1 sekilogram bagi mengelak buah menjadi rosak atau rugi kerana majoriti tanaman diserang jangkitan kulat daun dan akar,” katanya.

Pekebun lain Zubaidah Abdul Rahman, 46, berkata dia hanya mampu pasrah selepas terpaksa menanggung kerugian akibat tanamannya rosak selain tidak dapat memasarkan buah tembikai itu seperti biasa.

Katanya, tanaman berkenaan diusahakan bersama keluarganya di tanah berkeluasan 1.6 hektar sejak lima tahun lalu.

“Mungkin tiada rezeki tahun ini, dahlah pokok diserang jangkitan kulat, peraih pula tak datang beli tembikai yang sudah dikutip.

“Maka saya terpaksa jual sendiri kepada peruncit selain mereka yang datang ke kebun, tapi masalahnya tidak ramai pembeli datang sepanjang PKP ini menyebabkan pulangan modal pun tidak dapat,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 4:36pm
d