mutakhir

Suspek samun bersenjata pisau dicekup

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

REMAJA lelaki berdepan detik cemas apabila salah seorang daripada dua lelaki mengacukan pisau di perut sebelum melarikan beg duitnya di hadapan kedai runcit Kampung Cempaka, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian pada 6.50 petang, mangsa berusia 18 tahun mahu pulang ke rumah di Kampung Jambu selepas membeli ais di kedai runcit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, salah seorang suspek datang dari belakang lalu memeluk mangsa sebelum mencabut kunci motosikal dan memintanya menyerahkan beg duit.

Katanya, ketika itu, mangsa berasa seakan objek tajam diacu di belakang badannya lalu cuba melawan.

“Mangsa kemudian bertindak memegang pemegang belakang motosikal suspek sehingga kedua-dua suspek terjatuh menyebabkan salah seorang daripadanya bangun lalu menumbuk muka mangsa.

“Remaja itu turut disepak di dada sebelum kedua-dua suspek melarikan diri bersama beg duit mangsa mengandugi dokumen peribadi dan wang tunai RM500 dengan menaiki motosikal jenis Yamaha,” katanya.

Abdul Rahim berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menahan empat lelaki di sebuah rumah di Wakaf Stan, Kubang Kerian pada 2 pagi hari ini.

Menurutnya, keempat-empat suspek berusia 20 hingga 24 tahun selain turut merampas beberapa barangan seperti rantai leher dan jam tangan dipercayai hasil samun yang dilakukan.

“Saringan ujian air kencing mendapati mereka positif metamphetamine dan tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah.

“Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 5:11pm
d