mutakhir

Gaduh kerana mabuk

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LAPAN lelaki warga Nepal ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan dengan rakan senegara mereka di sebuah apartmen di Taman Seri Mentari, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 9.20 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 38 tahun adalah rakan kepada lapan suspek berusia antara 24 hingga 33 tahun berkenaan.

“Difahamkan punca pergaduhan kerana di bawah pengaruh alkohol. Akibat kejadian, mangsa dilaporkan parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Kami turut merampas dua pisau dan satu gunting yang digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai sejarah sakit mental kerana melakukan khianat dengan api di sebuah flat di Lembah Subang, Petaling Jaua, pada 9 pagi semalam.

“Selain itu, kami turut menahan enam lelaki dan tempatan dan tiga wanita warga Indonesia dalam serbuan Operasi Dadu (Op Dadu) di sebuah premis di Damansara Damai yang menjalankan kegiatan judi dalam talian, pada 8.50 malam semalam.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua wanita warga Indonesia bekerja sebagai penjaga premis, manakala enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia lagi adalah pemain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis menahan enam individu dalam lima tangkapan berasingan menerusi Operasi Covid-19 (Op Covid-19) di sekitar Petaling Jaya bagi tempoh 24 jam.

“Mereka yang ditahan membabitkan lima lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 46 tahun dalam sekatan jalan raya di Jalan Tol PJS 2, Jalan Persiaran Surian Damansara, Jalan Sepah Puteri 5/10 Kota Damansara dan Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara semalam dan hari ini.

“Mereka ditahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No 2) 2020,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 5:24pm
d