mutakhir

2,298 rakyat Malaysia terkandas di luar negara

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 2,298 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 47 negara sehingga hari ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, mereka yang terkandas membabitkan tujuan jangka masa pendek seperti melancong, urusan keluarga dan bercuti.

Katanya, ada antara mereka mempunyai tiket penerbangan pulang ke negara ini, namun penerbangan dibatalkan dan tiada jalan alternatif untuk pulang disebabkan sekatan perjalanan dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, selain tidak mempunyai kemampuan menanggung kos untuk terus berada di sana.

“India merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara iaitu seramai 1,016 orang, Thailand (172 orang), New Zealand (136 orang), Pakistan (128 orang), Vietnam (122 orang), Arab Saudi (83 orang), Australia (77 orang), Filipina (66 orang), Sri Lanka (65 orang) dan Nepal (43 orang).

“Setakat hari ini, seramai 4,811 rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air sama ada melalui proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan, sumbangan parti politik, pihak swasta mahupun dibiayai secara persendirian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata, bagi situasi di India, dua penerbangan sewaan khas Malindo Air yang membawa 270 rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Trichy tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini masing-masing melalui penerbangan OD210 4.15 pagi dan penerbangan OD222 4.51 petang.

“Sebanyak tiga penerbangan sewaan khas Malindo Air dari New Delhi, Mumbai dan Chennai dijangka tiba pada 5 dan 6 April ini. Sehingga 5 petang tadi, seramai 2,567 rakyat Malaysia yang terkandas di India berjaya dibawa pulang,” katanya.

Katanya, sebuah pesawat sewaan khas Malindo Air (OD8184) membawa 66 penumpang terkandas di Nepal membabitkan 43 rakyat Malaysia, 22 rakyat Singapura dan seorang rakyat United Kingdom (pasangan rakyat Malaysia) yang dijangka tiba di KLIA 8.05 malam ini.

“Penerbangan pesawat ini dibiayai sepenuhnya oleh Parti Kongres India Malaysia (MIC). Rakyat Singapura tidak akan menjalani proses kuarantin di Malaysia kerana mereka akan terus dibawa pulang menerusi sebuah pesawat khas sejurus tiba di KLIA.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa seramai 115 orang rakyat Malaysia di Vietnam akan tiba di KLIA jam 10.30 malam ini melalui penerbangan komersial MH 767 yang dijadualkan semula oleh Malaysia Airlines.

“Penerbangan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kolaborasi erat Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City bersama Malaysia Airlines.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih kepada semua penjawat awam yang bekerja keras di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu,

Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City atas inisiatif serta bantuan konsular yang dihulurkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.

Katanya, Kementerian Luar Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akan terus diberikan keutamaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 9:22pm
    d