mutakhir

Kerajaan akan bantu rakyat Malaysia dikuarantin di India

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEMENTERIAN Luar Negeri akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat kuarantin di India.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, rakyat Malaysia yang dikuarantin oleh pihak berkuasa India kerana pembabitan mereka dalam perhimpunan tabligh di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac lalu.

Beliau berkata, ia langkah yang diambil oleh Kerajaan India untuk mengekang penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Katanya, Kementerian Luar Negeri menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sudah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri (MEA) India dan pihak berkuasa negara itu berjanji memberi perhatian serta kerjasama sepenuhnya.

“Saya juga mengarahkan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi untuk melawat dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin berkenaan.

“Pada kesempatan ini, kami mohon kerjasama rakyat Malaysia untuk bersabar dan memahami bahawa proses membawa rakyat kita pulang memerlukan rundingan dan kadang-kadang memakan masa,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video mengenai kedaifan pusat kuarantin di India yang menempatkan sekumpulan rakyat Malaysia tular di media sosial, baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 10:58pm
    d