mutakhir

PKP: Kantoi proses ketum di kandang lembu

Oleh BERNAMA

POLIS menahan enam lelaki yang menjadikan kandang lembu tersorok di Permatang Sintok, Kepala Batas sebagai lokasi memproses dan membungkus air ketum bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka berusia dalam lingkungan 40 tahun ke 50-an ditahan ketika polis mengadakan rondaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan pada 6.30 petang.

Beliau berkata, pada mulanya sekumpulan lelaki yang ditemukan polis mengingkari PKP itu ditegur kerana gagal memberi sebab yang munasabah mengapa mereka berada di kawasan itu.

“Pemeriksaan polis ke atas kandang lembu tempat mereka berkumpul itu menemukan sebuah tong ais yang mengandungi 48 bungkusan kecil dan empat botol minuman berisi air ketum dan kami menahan mereka untuk tindakan selanjutnya. Air ketum itu dirampas untuk siasatan,” katanya, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan semua mereka ditahan untuk siasatan menurut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1950 serta Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 11:16pm
d