mutakhir

Covid-19: Kerajaan negeri hantar balik percuma

Oleh Baharom Bakar

SERAMAI 170 individu yang disahkan negatif Covid-19, selepas menjalani proses rawatan di pusat kuarantin akan dihantar pulang ke negeri masing-masing hari ini.

Proses penghantaran pulang individu berkenaan selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari diuruskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menggunakan 10 kenderaan termasuk bas.

Ketua Sekretariat JPBN Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, individu yang disahkan negatif itu dihantar terus daripada 10 pusat kuarantin di negeri itu ke balai polis berhampiran tempat tinggal mereka.

Menurutnya, ahli keluarga semua individu yang sudah disahkan bebas daripada Covid-19 selepas melalui proses rawatan di pusat kuarantin juga sudah dihubungi.

“Kos penghantaran balik dan makan minum individu berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Sekretariat JPBN.

“Perkhidmatan penghantaran balik individu bebas Covid-19 itu dilakukan atas dasar ihsan dan keprihatinan kerajaan negeri, selain mematuhi peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, Che Adam berkata, 36 individu yang disahkan bebas Covid-19 itu adalah dari Selangor, Kelantan (28), Johor (26), Negeri Sembilan (10), Kuala Lumpur (11), Pahang (18), Kedah (9) dan masing-masing lima dari Melaka serta Pulau Pinang.

“Bagi individu dari Sabah dan Sarawak, penghantaran hanya akan dilakukan ke beberapa lokasi sekitar Lembah Klang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 1:39pm
    d