mutakhir

Tanam sayur elak bosan ketika PKP

Oleh Noorazura Abdul Rahman

TUKANG rumah tidak mensia-siakan waktu lapang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menanam sayur-sayuran di belakang rumahnya di Kampung Pulau Kecil, Tunjang, Kubang Pasu.

Walaupun ruang hanya berukuran 15 meter panjang dan tiga meter lebar, namun ia tidak membataskan Mohd Fauzi Ismail, 51, untuk melakukan aktiviti berfaedah.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia mengambil keputusan menanam cili besar dan kangkung sebaik sahaja kerajaan mengumumkan PKP pada 18 Mac lalu.

“Pendapatan saya sebagai tukang rumah hanya kira-kira RM1,000 sebulan, jadi saya perlu buat sesuatu bagi membolehkan saya mendapat pendapatan baharu.

“Saya keluarkan modal sebanyak RM200 untuk membeli benih dan peralatan termasuk 100 unit polibeg sebelum menyemai benih cili dan kangkung, sekarang ia mula tumbuh dan menampakkan hasil,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, sayur-sayuran itu bukan sahaja untuk dimakan dan dijual, malah ia turut menjadi terapi buat dirinya dan keluarga selepas terpaksa duduk di rumah.

Katanya, sepanjang PKP setiap pagi dan petang sudah menjadi rutinnya menyiram air dan baja bagi memastikan sayur-sayuran itu tumbuh segar.

“Kangkung dijangka dapat dituai dalam tempoh dua minggu lagi, manakala cili besar mungkin tiga bulan lagi. Walaupun hasil cili besar agak lambat tapi ianya berbaloi kerana boleh dijual dengan harga RM8 sekilogam.

“Apa yang penting, saya dapat lakukan sesuatu dan mengeluarkan peluh sepanjang PKP kerana kita tak tahu sama ada tempoh PKP akan tamat pada 14 April ini.

“Jika disambung lagi, sekurang-kurangnya saya dan isteri serta anak-anak sudah ada aktiviti untuk dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 2:57pm
d