mutakhir

Harimau kumbang baham kambing

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PENEMUAN bangkai kambing milik penternak di Kampung Geylang, Jelebu yang dipercayai mati dibaham harimau kumbang, membimbangkan penduduk kampung.

Kambing dewasa itu dipercayai dibaham ketika ia dilepaskan bersama kambing lain untuk mencari makan berhampiran kawasan hutan kampung itu.

Pemiliknya menjumpai bangkai itu pada 6 petang semalam dan melaporkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof untuk diambil tindakan.

Noor Azmi yang ditemui di tempat kejadian pagi ini berkata, perangkap sudah dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( PERHILITAN) berdekatan lokasi penemuan bangkai itu.

Katanya dengan pemasangan perangkap itu, pihaknya berharap dapat menangkap binatang buas itu daripada terus membunuh ternakan penduduk.

“Untuk rekod, penternak terbabit sebelum ini pernah kehilangan 15 ekor biri-biri apabila dibaham harimau kumbang pada kejadian Februari tahun lalu.

“PERHILITAN kemudian memasang perangkap dan berjaya menangkap harimau kumbang sebelum dilepaskan ke habitat asal,” katanya.

Noor Azmi berkata perangkap besi itu siap dipasang tengah hari tadi dan menggunakan umpan seekor anak kambing.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 3:32pm
d