mutakhir

Tak jejas usaha bendung Covid-19

Oleh Mohd Roji Kawi

SEMUA urusan kerajaan negeri berkaitan pandemik Covid-19 termasuk pengagihan bantuan kepada rakyat tidak terjejas meskipun lima menteri menjalani kuarantin di rumah.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, dua Timbalannya iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan masih menjalankan tugas seperti biasa tanpa perlu ke pejabat atau menghadiri mesyuarat.

Begitu juga dengan tiga Menteri Kabinet Sarawak iaitu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, yang turut dikuarantin.

“Dua Timbalan Ketua Menteri dan tiga Menteri kami hanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjalani kuarantin diri selepas salah seorang daripada pegawai yang menghadiri mesyuarat bersama mereka sebelum ini disahkan positif Covid-19.

“Inilah masanya kami memanfaatkan sepenuhnya teknologi. Tiada halangan untuk lima anggota Kabinet itu untuk terus bekerja dalam usaha kita menangani pandemik ini kerana kami sentiasa berbincang menggunakan persidangan video selain berhubung segera menerusi telefon pintar seberapa segera apabila perlu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran penghantaran bekalan makanan ke kawasan pedalaman di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, lima anggota Kabinetnya itu kini dalam keadaan baik dan mereka sentiasa mematuhi ketetapan kuarantin.

“Mereka sihat, cuma tidak boleh keluar rumah. Mereka tidak berehat sebaliknya terus bekerja untuk memastikan pandemik ini ditangani sebaiknya demi kesejahteraan rakyat.

“Cuma seorang sahaja yang disahkan positif Covid-19 iaitu Datuk Dr Jerip Susil (Menteri Muda Pengangkutan Sarawak),” katanya.

Sementara itu, tiga Ahli Parlimen Sarawak turut disahkan positif iaitu Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Ling Biu disahkan positif pada 14 Mac lalu selepas menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur dan masih menerima rawatan di Hospital Sibu.

Dr Kelvin pula pada disahkan positif pada 16 Mac lalu dan disahkan sudah pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala Rubiah pula disahkan positif sejak dua hari lalu dan kini masih menerima rawatan di HUS.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 4:08pm
    d