mutakhir

Hajat nak balik Thailand 'terbantut'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

LIMA pelancong warga asing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mengalami kerosakan sebelum terdampar di Ban Pecah, Sungai Apong, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa membabitkan dua lelaki dan dua wanita warga Thailand selain seorang lelaki warga Britain yang juga suami salah seorang wanita warga Thailand itu.

"Semua mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 29 Mac lalu.

"Bagaimanapun, bot itu mengalami kerosakan enjin, tiada caj elektrik dan kegagalan fungsi Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

"Kejadian itu mengakibatkan bot terdampar di perairan berkenaan," katanya.

Agus Salim berkata, bot pelancong itu mula berlepas dari Thailand ke Singapura pada 18 Februari lalu.

Menurutnya, sehari selepas itu, bot itu masuk ke perairan Malaysia namun mengalami kerosakan enjin.

"Disebabkan tiada tempat baik pulih enjin, bot mereka ditunda bot nelayan Indonesia ke Bangkali, Indonesia.

"Selepas itu, mereka merancang berlepas dari Indonesia ke Thailand. Dalam perjalanan, bot itu terkandas di sini dan mereka meminta bantuan makanan dan minuman," katanya.

Beliau berkata, bot terbabit ditunda ke Hutan Melintang, Perak untuk dibaik pulih.

Dalam pada itu, tular di laman sosial Facebook gambar bot pelancong terdampar di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 4:54pm
d