mutakhir

MKN nafi keluar jadual perancangan Covid-19

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) menafikan ada mengeluarkan jadual perancangan Covid-19 seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Mesej tular itu menyebut, pihak terbabit mendakwa Covid-19 dijangka pulih sekitar 29 Mei dengan syarat orang ramai perlu mengamalkan semua perintah larangan dan berdisiplin supaya penularan wabak berkenaan tidak berulang.

Turut tersebar satu jadual perancangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 iaitu 14 hari untuk fasa pertama yang dinamakan sebagai fasa pemantauan.

Bagi 14 hari seterusnya pula adalah fasa kedua untuk pencegahan, fasa ketiga untuk pemulihan, fasa keempat untuk pembersihan dan fasa terakhir bagi kerja pembebasan, kemudiannya barulah negara ini boleh diisytiharkan sebagai bebas Covid-19.

Penyebar maklumat itu turut mendakwa jadual yang dikongsi itu diperoleh daripada sumber MKN di Putrajaya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) turut menafikan tiga lagi berita palsu yang kini tular di pelbagai media sosial.

Dalam kenyataan berkenaan, pihak Hospital Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) menafikan pernah melantik individu untuk mengurus sumbangan bagi membantu seramai lebih 150 orang ‘frontliners’ di hospital berkenaan.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka turut menafikan pernah melantik mana-mana pihak untuk memohon sumbangan melalui Kempen “Wakaf Bantal Leyna” bagi tujuan membeli bantal berkenaan untuk diberikan kepada pesakit Covid-19 di Wad Isolasi di Hospital Besar Melaka.

Menerusi kenyataan sama, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan pihaknya pernah menerbitkan sebarang video dan audio bertajuk “Pesanan Buat Pemohon Bantuan Prihatin Nasional.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 5:57pm
    d