mutakhir

Syazwan, pendakwah di Pulau Banggi [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

EMPAT tahun lalu, Muhammad Syazwan Khamis mengambil keputusan berhijrah ke Pulau Banggi, Kudat, Sabah untuk menjadi pendakwah sepenuh masa, sekali gus tinggal bersama isteri dan anak di kawasan pedalaman itu.

Meskipun terpaksa berpisah dengan keluarga di Changlun, Kedah, Muhammad Syazwan, 30 akur kerana menganggap itu sebahagian pengorbanan yang perlu dilakukan demi menyebarkan ajaran Islam.

Sebelum berhijrah ke Pulau Banggi, dia sering berulang alik dari Kedah ke Sabah selama setahun untuk bertemu isteri, Khairul Fitriah Hamid, 30 yang bertugas sebagai ustazah.

Katanya, keputusan itu juga dibuat untuk membolehkan mereka sekeluarga tinggal bersama.

“Minat mendalami ilmu agama ini timbul sejak di sekolah rendah lagi dan saya pernah menyambung pengajian dalam jurusan muamalat di sebuah kolej di Kedah selepas tamat persekolahan cuma berhenti di pertengahan jalan kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Selepas itu, saya belajar sendiri ilmu agama dengan menghadiri kuliah dianjurkan di surau, masjid serta pondok seterusnya menggunakan pengetahuan yang ada untuk menjalankan aktiviti dakwah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Syazwan, selain masalah bekalan air akibat musim kemarau, komunikasi adalah cabaran utamanya ketika mula menjalankan aktiviti dakwah di Pulau Banggi tetapi bantuan penduduk berpengaruh memudahkannya mendekati masyarakat di situ.

Kini, penduduk setempat mula menerima kehadirannya, malah dia turut mengambil inisiatif mempelajari dialek Sabah bagi memudahkan komunikasi dua hala.

“Bantuan penduduk berpengaruh terdiri daripada bekas paderi yang sudah memeluk Islam banyak membantu saya menyantuni penduduk setempat.

“Ini kerana dakwah kepada masyarakat luar bandar bukan tugas mudah sebaliknya memerlukan kepelbagaian kemahiran dan seni,” katanya.

Bapa tiga anak itu berkata, rutin hariannya sebelum ini adalah berdakwah dengan memasuki penempatan penduduk atau mengadakan ceramah.

Namun, dia akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan dan menggantikan aktiviti dakwah dengan program ziarah bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat yang tergolong dalam kategori asnaf.

“Memandangkan tempoh PKP masih berjalan, saya cuba ikut jejak langkah rakan pendakwah di Semenanjung dengan menjalankan aktiviti pemberian sumbangan.

“Aktiviti itu dijalankan pada sebelah petang ketika hari tertentu saja dan sudah mendapat keizinan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, selagi terdaya, dia akan meneruskan aktiviti dakwah dengan harapan dapat memberi tunjuk ajar kepada penduduk setempat mengenai cara kehidupan sebenar.

Selain itu, dia juga berharap usahanya dapat membawa perubahan kepada penduduk dan dorongan kepada individu lain untuk berdakwah di kawasan pedalaman.

“Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus walaupun melakukan kerja dakwah ini secara sepenuh masa.

“Walaupun belum berpeluang mengislamkan penduduk yang ditemui, saya tidak akan berputus asa.

“Sebaliknya, akan terus memperbaiki kekurangan khususnya dari segi penyampaian dakwah,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 8:06pm
d