mutakhir

202 etnik Rohingya diserah kepada JIM

Oleh Hamzah Osman

SERAMAI 202 pendatang tanpa izin (PATI) terdiri daripada etnik Rohingya ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat peranginan di Kampung Teluk Nibong, di Langkawi, hari ini.

Etnik Rohingya terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan itu ditahan jam 8.45 pagi tadi pada kedudukan 1.2 batu nautika di Barat Daya pantai berkenaan.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, kumpulan terbabit menaiki sebuah bot hanyut.

“Sejurus ditahan kesemua PATI itu dibawa ke Bilik Tahanan Maritim Kedah dan Perlis di Bukit Malut, menjelang tengah hari.

“Mereka akan diserah kepada Jabatan Imigresen (Malaysia) Kedah kerana memasuki negara ini secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulinda berkata, semua anggota APMM yang terbabit dalam operasi mengambil langkah keselamatan bagi mencegah penularan Covid-19 berpunca dari PATI.

“Pada masa sama, APMM turut menyiasat aduan dibuat PATI mengenai pembabitan empat individu sebagai dalang dalam kes penyeludupan migran itu.

“Mereka mendakwa seorang tekong dan tiga awak-awak yang turut berada atas bot itu ketika belayar sudah melarikan diri,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 200 pelarian Rohingya mendarat di Langkawi
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 8:32pm
    d