mutakhir

274 pelajar bebas Covid-19

Oleh Baharom Bakar

SERAMAI 274 daripada 330 pelajar Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Manir, di Kuala Terengganu disahkan bebas Covid-19 dan dibenarkan pulang, semalam.

Pelajar terbabit menjalani proses kuarantin selama dua minggu selepas madrasah itu ditutup dipercayai menjadi lokasi persinggahan pesakit positif Covid-19, sejak 14 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman menjelaskan, kerajaan negeri menyediakan enam bas dan tiga van untuk penghantaran pelajar yang berada di luar negeri ini secara percuma.

Jelasnya, pengurusan Madrasatul Quran sudah menghubungi ibu bapa pelajar dari negeri ini untuk mengambil anak mereka.

“56 lagi pelajar termasuk tenaga pengajar yang masih ditempatkan di madrasah itu sedang menunggu surat pengesahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sebelum mereka dibenar pulang.

“Semua pelajar berkenaan sedang berada dalam tempoh bercuti selama dua bulan sehingga Aidilfitri,” katanya turut memberitahu, tempoh cuti sesi persekolahan pelajar berkenaan bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19.

Pada 14 Mac lalu, madrasah itu diarah ditutup selepas 87 penghuni dikenal pasti sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Alor Limbat mengesahkan, proses sanitasi membabitkan keseluruhan kawasan, termasuk lokasi pelajar dikuarantin fasa pertama selesai dilakukan Selasa lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 12:12am
    d