mutakhir

Polis guna dron pantau PKP

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS mula menggunakan dron di tiga lokasi tumpuan orang ramai di Kedah dalam usaha memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi masyarakat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, dron mula diguna di pasar awam Ayer Hitam, Changlun dan Jitra mulai semalam.

Katanya, hasil pemantauan menggunakan dron mendapati, orang awam semakin berdisiplin dan mematuhi jarak sosial ditetapkan ketika berurusan di luar rumah.

“Malah tangkapan ingkar PKP juga menunjukkan penurunan apabila hanya 55 individu ditahan di daerah ini sehingga semalam.

“Hasil tinjauan di beberapa kawasan juga mendapati tidak banyak pergerakan berlaku di kawasan tumpuan seperti sebelum ini, malah orang awam terus pulang selepas selesai urusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Ismail berkata, kawalan anggotanya diteruskan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan ketika PKP ini selain kawalan sekatan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 10:51am
d