mutakhir

Bantu atas sifat kemanusiaan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru 202 imigran dipercayai etnik Rohingya yang ditahan di Langkawi semalam diberi bantuan kemanusiaan sewajarnya.

Kemasukan mereka ke negara ini secara tidak sah perlu disiasat kerana ada kemungkinan dalang sindiket pemerdagangan manusia beroperasi membawa mereka masuk ke Malaysia seperti sebelum ini.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya

prihatin dengan keadaan 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa dalam bot ditemui.

“Dalam keadaan wabak Covid-19 memang perlu tindakan tegas diambil. Namun mereka adalah manusia yang menjadi mangsa sindiket.

“Kami mengesyorkan siasatan ke atas mereka terutama wanita dan kanak-kanak dipercepatkan agar tidak berada dalam pusat tahanan terlalu lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, media melaporkan, etnik Rohingya berkenaan ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi.

Mereka dipercayai menaiki bot hanyut untuk masuk ke negara ini kini ditahan di Bilik Maritim Kedah dan Perlis di Bukit Malut.

Mohd Azmi berkata, kerjasama dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) perlu disegerakan untuk melihat bagaimana keselamatan dan dokumentasi mereka terurus dengan lancar.

Menurutnya, pihak berkuasa juga perlu menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan yang dapat menyumbang keperluan asas kepada imigran terbabit terutama wanita dan kanak-kanak.

Berita berkaitan:

  • 200 pelarian Rohingya mendarat di Langkawi
  • 202 etnik Rohingya diserah kepada JIM
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 1:26pm
    d