mutakhir

Duit ekonomi gelap guna perangi Covid 19

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TINDAKAN tegas ke atas perdagangan haram perlu diambil bagi menebus kembali wang berbilion ringgit yang lesap dan kemudiannya disalurkan ke arah usaha pemulihan ekonomi ketika wabak Covid-19 melanda.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan (RTBA) Heath Michael berkata, kerajaan terdahulu menyatakan ekonomi gelap Malaysia mewakili 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dianggarkan berjumlah RM300 bilion setahun.

"Jika dibandingkan dengan negara-negara berdekatan, ekonomi gelap Malaysia lebih menggerunkan. Menurut Kertas Kerja Tabung Kewangan Antarabangsa, nisbah purata Malaysia bagi tempoh 1991-2015 adalah 31.5 peratus iaitu lebih tinggi berbanding Singapura (11.9 peratus), Australia (12.1 peratus), China (14.7 peratus), Hong Kong (14.7 peratus), Vietnam (18.7 peratus), India (23.9 peratus), Indonesia (24.1 peratus) dan Korea Selatan (25.7 peratus).

"Kajian menunjukkan usaha menjejak aktiviti jenayah ini boleh menebus kembali berbilion Ringgit kepada kerajaan,’’ katanya dalam satu kenyataan.

RTBA adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengawal selia perniagaan daripada kegiatan jenayah.

Menurutnya, RTBA mendefinisikan dagangan haram meliputi aktiviti penyeludupan, pemalsuan produk dan mengelak cukai yang mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil sukai, menjejaskan perniagaan sah dan konsumer terdedah kepada produk tidak teratur atau tidak selamat.

"Produk ini termasuk barangan mewah tiruan atau diseludup, produk elektronik, minuman alkohol dan rokok yang biasanya dijual secara tidak sah di pasaran gelap.

“Dalam usaha membantu pembaharuan dasar dan inisiatif-inisiatif proaktif bagi melindungi perniagaan dan peruncit sah di seluruh rantau ini daripada penjenayah dan dagangan haram, RTBA akan meluaskan kehadirannya dengan membuka pejabat serantau di negara Asean, termasuk Malaysia," katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 diburukkan lagi dengan penurunan harga minyak mentah dan kejatuhan harga komoditi serta sekatan perdagangan, memberi impak buruk ke atas ekonomi global dan serantau.

“Setiap ringgit amat bernilai di dalam usaha pemulihan, dan langkah radikal diperlukan daripada kerajaan.

“Ini menjadi lebih penting memandangkan perolehan cukai kepada nisbah KDNK di Malaysia menurun secara progresif daripada 15.6 peratus pada 2012 kepada 12 peratus pada 2018 dan 11.8 peratus pada Januari-September 2019," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 2:24pm
    d