mutakhir

Lega bila terima BPN

Oleh Nor Farhani Che Ad

PEMBAYARAN fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang bermula hari ini menyaksikan beberapa bank di Bandar Sungai Petani, dipenuhi orang ramai terutama golongan B40.

Tinjauan Harian Metro mendapati, orang ramai mula beratur di hadapan premis berkenaan sejak 8.30 pagi dan bank berkenaan turut dikawal anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pesawah Abdul Halim Mat Saad, 55, berkata dia bersyukur menerima bantuan selepas lebih dua minggu terpaksa menggunakan wang simpanan dua anaknya untuk membeli barangan dapur.

“Perkara pertama yang saya akan buat dengan wang ini adalah membeli barangan asas untuk tempoh masa yang lama kerana bimbang Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilanjutkan.

“Selain itu, saya akan membayar sedikit duit anak-anak yang dipinjam selama tempoh PKP ini kerana wang simpanan itu sebenarnya untuk tabung pendidikan masa depan mereka,” katanya.

Suri rumah, Siti Zainab Kamis, 54, mengakui lega menerima BPN kerana dia bersama suaminya serta dua anak yang masih bersekolah bergantung hidup dengan anak mereka yang juga penjawat awam sejak arahan PKP.

“Sebelum ini saya ambil upah mengasuh cucu kepada salah seorang anak yang berniaga di kantin sekolah.

“Sejak PKP, dia tidak dapat berniaga sekali gus hilang punca pendapatan, jadi saya juga tiada pendapatan dan hanya menggunakan sedikit wang simpanan serta bantuan daripada anak-anak lain” katanya.

Peniaga, Ismail Darus, 48, berkata BPN sedikit sebanyak meringankan bebannya yang sebelum ini menanggung kerugian akibat jualan buah-buahan kurang memberangsangkan.

“Pada awal PKP, banyak buah rosak disebabkan tidak ramai yang datang membeli, jadi saya terpaksa berhutang dengan pemborong sekiranya ingin mengambil bekalan buah baru kerana wang modal tidak mencukupi.

“Jadi, bantuan ini dapat membantu menjelaskan hutang perniagaan selain membeli keperluan asas,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 5:06pm
d