mutakhir

Gali awal empat lubang kubur

Oleh Nazri Abu Bakar

PENGGALI kubur, Na’im Hashim mengambil kesempatan menggali empat kubur sebagai persiapan menghadapi Ramadan, tidak lama lagi.

Na’im, 51, berkata ia bertujuan memudahkan urusan pengebumian penduduk yang meninggal dunia pada bulan berkenaan.

Katanya, berikutan kebiasaan Ramadan kerja menggali menerusi kaedah tradisional menggunakan cangkul dan penggali amat mencabar menyebabkan dia menyediakan lubang kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bertam Ulu, Melaka, itu lebih awal.

“Cara ini akan memudahkan urusan pengebumian tanpa menunggu lama untuk kerja menggali jika berlaku kematian mengejut pada Ramadan nanti.

“Selepas lubang berkenaan siap, saya akan menutupnya dengan zink, kayu dan kanvas bagi mengelak air hujan memasuki lubang berkenaan yang boleh menyebabkan kerosakan atau tanah runtuh.

“Jika ada penduduk yang meninggal dunia nanti, kerja akhir dilakukan lebih pantas iaitu hanya dengan membina liang lahad sahaja,” katanya.

Dia yang sudah lebih 10 tahun bekerja menggali kubur berkata, masa terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan untuk tujuan terbabit yang mendapat kebenaran jawatankuasa masjid dan polis.

Menurutnya, dia dan rakannya, Jalul Wahab dibayar RM100 untuk setiap kubur, tetapi apa lebih penting adalah demi agama dan komuniti masyarakat setempat.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 5:27pm
d