mutakhir

Hantar terus pek makanan ke rumah

Oleh Mohd Amin Jalil

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengambil inisiatif membantu golongan sasar termasuk masyarakat Rohingya yang terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penyelaras Mapim Negeri Sembilan, Fuad Othman berkata, sukarelawan Mapim menghantar terus bantuan barangan dapur ke rumah penerima yang sudah dikenal pasti tanpa memerlukan penerima keluar dari rumah mereka.

Katanya, golongan dibantu termasuk penjaja kecil, pekerja bergaji hari, pemandu van sekolah, pengasuh, pekerja kontrak, tukang besi, mekanik dan ibu tunggal.

“Setakat ini, kami sudah hantar bantuan berupa pek barangan dapur kepada 413 ketua keluarga dengan penerima bukan sahaja dari kalangan rakyat tempatan, malah etnik Rohingya di Sikamat, Seremban dan Melaka.

“Pek barangan mengandungi beras lima kilogram (kg) bawang merah dan bawang putih (2kg), minyak masak (1kg), gula (1kg), tepung gandum (1kg), susu (2 tin), sardin (1 tin), bihun (1 pek) dan garam.

“Kami mendapat kerjasama baik daripada persatuan penduduk, jawatankuasa masjid dan surau serta guru sekolah yang mencari maklumat keluarga yang terjejas,” katanya selepas menyerahkan barangan berkenaan kepada keluarga terbabit di sekitar Sikamat, Seremban, hari ini.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 5:54pm
d