mutakhir

Orang tua pun hang nak pukul [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

LELAKI tergamak memukul pemandu teksi warga emas menggunakan topi keledar gara-gara tidak berpuas hati akibat kemalangan di Medan Angsana Satu, Bandar Baru Air Itam, Georgetown, semalam.

Akibat tindakan suspek, mangsa berusia 80 tahun lebam di bahagian muka dan kepala serta menerima beberapa jahitan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian berlaku pada 5.30 petang ketika mangsa membawa penumpang wanita.

Menurutnya, mangsa dikatakan memberhentikan kenderaannya selepas dilanggar suspek berusia 35 tahun yang keluar dari simpang.

Katanya, bamper kanan kereta mangsa rosak, manakala lampu bahagian kanan turut pecah.

“Mangsa kemudian turun dari kereta bertanya mengenai kejadian dan menasihati suspek yang juga pengawal keselamatan supaya membuat laporan polis.

“Berang dengan mangsa, suspek tiba-tiba memukul kepala lelaki terbabit menggunakan topi keledar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang didakwa melanggarnya, tetapi mangsa menafikannya.

Katanya, mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Georgetown dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Rakaman video kejadian suspek memukul pemandu teksi turut tular di laman sosial sejak semalam.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 6:04pm
d