mutakhir

Gagal bawa keluar tanaman hiasan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menggagalkan cubaan membawa keluar tanaman hiasan di laluan keluar kargo di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, Khamis lalu.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai cuba membawa keluar tanaman sebanyak 460 pasu pokok hiasan pelbagai jenis ke Singapura kira-kira jam 1 petang.

“Pemeriksaan yang dijalankan oleh dua pegawai penguatkuasa MAQIS pada konsainan yang dibawa, menemui pelbagai jenis tanaman hiasan.

“Ia antaranya spesies ‘Sarracenia Purpurea’ dan spesies ‘Portulacaria Afra Variegata’ yang diletakkan di bahagian penyimpanan barang belakang lori yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati konsainan terbabit tidak mempunyai permit eksport yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS, selain dagangan itu dipercayai dibawa untuk pasaran Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua konsainan bernilai RM2,320 itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengeksport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 7:01pm
d