mutakhir

Covid-19: 202 etnik Rohingya disaring

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan ujian dan pengesanan kontak terhadap pelarian Rohingya yang ditemui di atas sebuah kapal di sekitar Pulau Langkawi, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat saringan kesihatan terhadap pendatang tanpa izin berkenaan.

“Memang betul ada pendaratan Rohingya di situ, kita sedang jalankan pengesanan (kontak) dan ujian kepada mereka. Selain itu, saringan kesihatan turut dibuat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan menetapkan etnik Rohingya itu akan dikuarantin di Pulau Langkawi.

Semalam Harian Metro melaporkan seramai 202 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, kumpulan PATI terdiri 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika di Barat Daya pantai berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, sempadan negara dan pintu masuk utama negara perlu diperkukuhkan untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya, KKM bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan isu memperkukuhkan sempadan turut dibawa dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu lalu.

“Kita mahu memastikan pintu masuk utama, contohnya lapangan terbang dan sempadan diperkukuhkan dan ATM sudah berjanji kawalan di semua pintu masuk sudah diperkukuhkan.

“Itu yang kita lakukan sejak seminggu lalu. Tetapi yang lebih penting, mereka yang pulang ke negara ini sudah diasingkan iaitu dikuarantin bermula 3 April lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 8:11pm
    d