mutakhir

Pakej Prihatin Tambahan tepat, menyeluruh: Tok Mat

Oleh Mohd Amin Jalil

PAKEJ Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tambahan berjumlah RM10 bilion diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin adalah bertepatan, menyeluruh dan menepati sasaran.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pakej berkenaan langkah radikal mampu merangsang industri PKS di negara ini selain merevitalisasi ekonomi negara pada masa kini.

Beliau berkata, langkah kerajaan menawarkan bantuan tambahan selepas pelbagai maklum balas diberikan, sememangnya menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap denyutan nadi rakyat, peniaga dan pengusaha PKS.

“Melalui pelbagai inisiatif dibentangkan, ternyata kerajaan amat mengiktiraf PKS sebagai tunjang utama ekonomi negara.

“Ini jelas berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan PKS tempatan mencatatkan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila merekodkan sumbangan sebanyak 38.3 peratus atau RM521.7 bilion pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Mohamad yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, bagaimanapun mengingatkan agar tiada sebarang limitasi untuk memenuhi segala permintaan bantuan PKS terbabit.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mengambil kira pandangan dan kebimbangan disuarakan pemegang taruh PKS berkaitan dengan kemelut dihadapi, namun kerajaan perlu bertindak dengan wajar berasaskan kemampuan kewangan negara.

“Bagaimanapun, sesuai dengan kemampuan kewangan sedia ada, kerajaan dilihat menunjukkan komitmen teguh untuk memastikan tiada segmen masyarakat tercicir daripada mendapatkan bantuan.

“Diharapkan bantuan tambahan berkenaan dapat meringankan beban majikan PKS selain menjamin kepentingan lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 8:19pm
d