mutakhir

Geng Betto tumpas

Juwan Riduan

KEGIATAN empat ahli Geng Betto yang aktif mencuri bateri pencawang telekomunikasi di sekitar Kota Kinabalu, akhirnya berakhir apabila mereka ditahan dalam empat serbuan berasingan Ahad hingga semalam.

Semua suspek termasuk ketua kumpulan dikenali sebagai Bobby ditahan selepas serbuan polis menemui sebanyak 56 bateri pencawang dianggarkan bernilai RM42,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Manjinji berkata, sebaik menerima laporan, polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan suspek pertama di sebuah rumah di Telipok Ria, Tuaran, Ahad lalu.

Menurutnya, hasil daripada tangkapan pertama, seorang lagi lelaki warga tempatan berjaya ditahan dan merampas 16 lagi bateri pencawang telekomunikasi di rumahnya.

“Susulan daripada soal siasat yang dijalankan, dua lagi individu berjaya ditahan semalam, sebelum membawa kepada penemuan baki keseluruhan bateri pencawang yang dilaporkan hilang.

“Semua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 36 tahun dan tiga kenderaan iaitu dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan disita.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk tiga buah kenderaan itu bernilai RM125,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, polis percaya kumpulan penjenayah ini mengambil kesempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan untuk menjalankan kegiatan mereka selain kebanyakan pencawang terletak di kawasan terpencil.

“Siasatan mendapati Bobby pernah bekerja sebagai juruteknik pencawang telekomunikasi di Rawang, Selangor tahun lalu.

“Setiap kali mencuri dia mematikan alat penggera keselamatan sebelum masuk ke dalam pencawang “Bateri pencawang yang dicuri akan dijual ke kilang besi buruk dengan harga RM2.50 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, susulan kejayaan itu polis percaya dapat menyelesaikan empat kes curi bateri pencawang syarikat telekomunikasi yang berlaku di sekitar daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan semua suspek direman selama lima hari,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 2:04pm
d