mutakhir

PKP: Terharu jasa suami dikenang

Oleh Rosman Shamsudin

BALU kepada bekas anggota polis ‘Special Constable ‘ (SC) ketika zaman darurat bersyukur apabila menerima sumbangan daripada Tabung Amanah Warisan Polis sebanyak RM1,000 di kediamannya di Kampung Slim Village, Muallim, hari ini.

Ngau Tai Thai, 81, mengakui terharu dengan bantuan diberi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu kerana mengenang jasa dan pengorbanan mendiang suaminya.

Suaminya, Leong Ming yang bergelar ‘Rifle Man’ meninggal dunia ketika berusia 84 tahun akibat sakit tua dan mula bertugas sebagai polis SC pada 1976 sehingga 1964.

Tai Thai berkata, dia berterima kasih kepada PDRM di atas sumbangan itu kerana tepat pada masanya untuk membeli barang keperluan, bagi mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.

“Rakyat negara ini patut bersyukur kerana masa PKP masih lagi dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan.

“Jika zaman darurat dahulu, tidak dibenarkan keluar dan makanan pun susah dapat ketika itu, jadi makanlah apa yang ada di rumah,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan itu, hari ini.

Penyerahan cek disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Koo Tai Chew.

Bercerita lanjut mengenai jasa suaminya, Tai Thai berkata, sebelum bersara, suaminya bertugas di Balai Polis Slim Village yang berpangkat sarjan dan pernah menerima pingat daripada Ratu Queen Elizabeth di atas jasa beliau menjaga kedaulatan dan keamanan negara ini.

“Mendiang suami saya digelar Rifle Man sebab beliau memang mahir dalam menembak dan tembakannya selalu menepati sasaran membuatkan beliau sentiasa disegani rakan setugas ketika itu.

“Setiap kali suami saya pergi bertugas, terutama pada zaman darurat, hati saya memang risau dan bimbang tentang keselamatannya apatah lagi beliau seorang penembak tepat, sudah tentu menjadi sasaran musuh,” katanya.

Sementara itu, Sulizmie Affendy berkata, sumbangan ini diberikan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mendiang Leong Ming dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara terutama ketika zaman darurat.

Katanya, sumbangan ini diharapkan dapat membantu mengurangkan beban beliau dalam menjalani kehidupan seharian.

Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 3:11pm
d