mutakhir

Mayat ditemui dalam tong sampah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

MAYAT lelaki lengkap berpakaian ditemui di dalam tong sampah di tepi jalan Taman Juara Jaya, Balakong, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada jam 11.39 pagi.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati mayat lelaki bangsa yang tidak pasti ditemui di dalam sebuah tong sampah warna hijau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mayat ditemui dengan kesan kecederaan di atas kepala dan pipi kiri.

“Mayat juga ditemui masih berpakaian lengkap dengan baju kemeja lengan panjang warna cerah dan seluar jeans berwarna biru. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019-2306107,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 4:15pm
d