mutakhir

Rampas ikan import haram

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan lori membawa pelbagai jenis ikan secara haram di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam.

Penahanan dibuat susulan pemeriksaan ke atas kenderaan itu pada 5 petang kelmarin dan mendapati tiada permit import untuk membawa masuk pelbagai ikan seperti kekek, barat, gelama, bawal hitam, selar, kerisi dan 608 kilogram (kg) ikan pari dianggarkan bernilai RM6,080.

Pengarah Maqis Kedah Lily Rosalind berkata, kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Tiada tangkapan dibuat ke atas kes ini. Kita juga sentiasa memantau pintu sempadan agar tidak bolos,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 10:45am
d