mutakhir

Fatimah lega disahkan negatif Covid-19

Oleh Mohd Roji Kawi

“SYUKUR Alhamdulillah, saya disahkan negatif Covid-19,” kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Fatimah dikuarantin sejak 1 April lalu selepas seorang pegawai kanan kerajaan yang menghadiri mesyuarat bersamanya pada 27 Mac lalu disahkan positif wabak itu.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada doktor Hospital Umum Sarawak (HUS) yang memaklumkan keputusan ujian itu ketika sedang bermesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi sidang video semalam.

“Berita daripada doktor itu amat menggembirakan dan saya berharap empat lagi Menteri Kabinet Sarawak yang masih menjalani kuarantin diri di rumah akan menerima keputusan sama.

“Terima kasih atas doa, sokongan, nasihat dan kasih sayang semua ahli keluarga, sahabat handai, rakan dan taulan , jauh dan dekat. Semoga kita semua terus dalam pemeliharaanNya,” katanya dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Malah beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19 berkata, walaupun berkurung di rumah, tugas hariannya sentiasa sibuk kerana beliau perlu sentiasa berhubung dengan pegawai serta kakitangannya untuk memastikan proses pengagihan bekalan makanan kepada rakyat yang memerlukan berjalan lancar.

Empat lagi anggota Kabinet Sarawak yang diarah menjalani kuarantin ialah dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti, Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Seorang lagi anggota Kabinet iaitu Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil pula disahkan positif wabak itu dan kini dirawat di HUS.

Dua Ahli Parlimen pula disahkan positif iaitu Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang manakala Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang sebelum ini menerima rawatan di HUS, disahkan sudah sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 11:47am
    d