mutakhir

75 buah rumah di BBIM dinyah cemar

Oleh Adnan Ibrahim

SEBANYAK 75 rumah dihuni 147 penduduk di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dekat sini, dinyah cemar melalui Program Sanitasi Awam hari ini.

Ia dilakukan berikutan keputusan saringan terhadap 1,446 penduduk di BBIM mengesahkan 61 daripadanya positif Covid-19.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 147 penduduk positif Covid-19 di lokasi berkenaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan.

Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu berkata, melalui program ini, setiap rumah penduduk yang terlibat secara keseluruhan akan disembur dengan semburan nyah cemar bagi memastikan ia bersih sepenuhnya daripada wabak itu.

“Kira-kira 100 petugas terdiri daripada kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kluang, Renggam, Batu Pahat selain Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) terbabit dengan program ini.

“Turut membantu melancarkan proses semburan adalah pasukan khas Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan SWCorp.

“Pasukan ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan semburan bermula 10.30 pagi sebelum tamat pada 2 petang,” katanya.

Ismail berkata demikian selepas taklimat Program Sanitasi Awam Fasa 3 untuk Pekan Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

Turut hadir Timbalan Pengarah JPBM Negeri Johor Fauzan Ahmad, Yang Di Pertua MDSR Muhamad Sukry Abd Rahim dan Pegawai Kesihatan Daerah Kluang Dr Mohd Nizam Subaher.

Ismail berharap, semburan nyah cemar ini akan menjadikan keseluruhan kawasan BBIM serta kawasan sekitarnya bersih daripada wabak selain mereka yang dijangkiti pulih sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 3:37pm
    d