mutakhir

10 geng Viki Naidu didakwa [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEPULUH ahli kumpulan ‘Viki Naidu’ yang giat melakukan jenayah sejak 2014 didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Kesemua lelaki berusia 27 hingga 50 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang ditahan sebelum ini mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tertuduh ialah K Prabu, 30, K Ganesan, 50, S K Vinodh, 28, M Prapagaran, 33, D Entiran, 27, D Ganesan, 30, P Velmurugan, 37, S K Anandh Kumar, 28, G Kesavan, 32, dan V N V Vigneswaran Naidu, 39.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di daerah Kinta antara 2014 hingga tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, D Sunita Kaur Jessy, manakala peguam Charan Singh mewakili Ganesan dan Prapagaran, semenetara tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding yang berlangsung kira-kira dua jam itu, mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin berikutan kesalahan di bawah SOSMA yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 April depan untuk sebutan semula kes.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan seramai 10 lelaki termasuk ketua kumpulan gangster ditahan dalam Op Cantas Subaru Kanthan yang dilakukan sejak Oktober tahun lalu.

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:03pm
d